3 February 2021 | SUmber Dari Xtra
Todak Music dan Warner Music Malaysia melakar dua sejarah penting baru-baru ini.
Kejayaan pertama dilakar menerusi penganjuran majlis menandatangani memorandum persefahaman secara atas talian atau virtual/maya yang mengetengahkan format hibrid baharu.
Penganjuran majlis menandatangani memorandum persefahaman dan sidang media secara atas talian itu adalah sejajar dengan gaya hidup norma baharu di dalam memutuskan rantaian COVID-19 yang telah merencatkan kebanyakkan sektor termasuk pengurusan acara.
Bagaimanapun, tanpa disedari ia sebenarnya telah mencungkil keupayaan individu untuk lebih berdaya kreatif melalui penggunaan platform atas talian.
Kejayaan kedua adalah kolaborasi yang dijalinkan bersama Warner Music Malaysia di dalam pengedaran lagu ke semua platform penstriman.
Kerjasama yang baik ini dijangka dapat membantu dalam mempromosikan lagu yang dikeluarkan dengan lebih efektif serta meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq berkata, kolaborasi bersama Warner Music Malaysia diharap bakal melahirkan produk yang terbaik bagi pasaran industri hiburan tanahair mahupun luar negara.
“Program ini diadakan bagi mengumumkan secara rasminya kerjasama di antara dua buah syarikat yang telah terjalin sejak tahun lalu. Kerjasama ini membabitkan promosi, produk dan juga kutipan royalti bagi artis naungan Todak Music.
“Ini juga bakal menjadi penanda aras untuk kami melahirkan produk yang terbaik. Malah kami juga amat berbangga apabila menerima Anugerah Made For The World 2020 bagi kategori Music Publishing oleh Niaga Times baru-baru ini,” kata Ikmal.
Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy, pihaknya berbesar hati apabila dapat bekerjasama dengan Todak Music dan berharap agar kerjasama yang baik ini dapat mengembalikan kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Usaha yang dilakukan Warner Music dan Todak ini, adalah sebahagian inisiatif menyelamatkan industri muzik di Malaysia, sekali gus memastikan ia terus berkembang pesat.
“Fokus kami antaranya untuk mencungkil bakat-bakat baharu lengkap kualiti dan pakej yang baik, untuk diketengahkan ke persada muzik antarabangsa,” katanya.
Todak Music yang ditubuhkan pada tahun 2019 beroperasi sebagai sebuah syarikat rakaman, studio tarian, muzik dan pengurusan bakat.
Selain itu, Todak Music turut menyediakan perkhidmatan studio rakaman yang membekalkan kepelbagaian audio dan visual yang cukup praktikal dan sesuai bagi pengguna tempatan mahupun antarabangsa.
Komited untuk mengukuhkan namanya di dalam persada hiburan tempatan dan antarabangsa, Todak Music yakin kualiti hiburan yang disajikan dapat direalisasikan tanpa berkompromi tarikan komersial.
Tidak hanya akan memfokuskan perniagaannya kepada pasaran tempatan semata-mata, Todak Music sebaliknya turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan jenamanya ke negara jiran Singapura dan Indonesia menerusi promosi dan penghasilan program hiburan berkelas tinggi.
Ia selaras dengan cita-citanya untuk lebih fokus di dalam melahirkan lebih ramai artis berkualiti yang relevan kepada industri. Antara artis yang bernaung di bawah Todak Music ialah Shiha Zikir, Fadh Majid, Razak A’ai dan Dina Nas.
Misi penubuhan unit Todak Music sebagai sebuah syarikat rakaman adalah bagi mengasah serta mencungkil bakat penyanyi yang berkualiti dan berkebolehan di dalam industri hiburan tanah air.
“Di samping itu, kami juga ingin membekalkan produk hiburan yang berkualiti kepada semua komuniti pendengar di dalam mahupun luar negara.
“Ini termasuklah dengan penglibatan secara langsung dengan komuniti pemuzik komersial dan underground melalui program pembangunan muzik yang kami terbitkan menerusi rakan strategik antarabangsa terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Ini dapat dilihat melalui produk Shiha Zikir yang merakam semula lagu Kris Dayanti dan telah mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Indonesia,” kata Ikmal lagi.
Tambahnya, sebagai CEO Todak Music, menjadi tugasnya untuk memastikan kualiti produk yang dihasilkan berada di tahap terbaik dan seiring dengan peredaran teknologi dan pasaran semasa.
“Kami sentiasa mengikuti perkembangan dan trend muzik semasa supaya dapat menseimbangkan pengeluaran produk artis dibawah pengurusan kami. Ini dapat dilihat dengan transformasi melalui platform digital seperti YouTube, Instagram, Spotify dan terkini aplikasi Tik Tok yang semakin menjadi trend promosi,” ujarnya lagi.
Mengakui turut terkesan akibat penularan wabak COVID-19 sejak tahun lalu, ia tidak menjadi penghalang untuk mereka terus kekal bertahan dan meneruskan misi pembangunan muzik melalui pelbagai rancangan strategik yang disusun mengakui kesesuaian keadaan semasa.
Comentários