top of page

Todak Music teroka pasaran luar

Penulis: Aida Rizmariza Kamaruddin

Tarikh: 2 Mac 2021 Sumber: Utusan Malaysia



KUALA LUMPUR- Pandemik yang melanda dunia ketika ini tidak memberi sebab untuk syarikat rakaman Todak Music memperlahankan aktiviti perniagaannya. Sejak ditubuhkan dua tahun lalu, Todak Music terus mencipta ruang dalam memperkenalkan lebih ramai bakat baharu.


Dalam merealisasikan impian perniagaan mereka ke pasaran lebih luas, Todak Music menjalinkan kerjasama bersama Warner Music dalam merancakkan pengedaran lagu ke semua platform penstriman.


Ketua Pegawai Eksekutif Todak Music, Ikmal Fareeq berkata, melalui kerjasama ini juga membolehkan lebih ramai bakat terus menghasilkan produk bertaraf antarabangsa.


“Program ini diadakan bagi mengumumkan secara rasminya kerjasama di antara dua buah syarikat yang telah terjalin sejak tahun lalu. Kerjasama ini membabitkan promosi, produk dan juga kutipan royalti bagi artis naungan Todak Music.


“Sudah pasti ia menjadi penanda aras untuk kami menghasilkan produk yang terbaik. Kami juga amat berbangga apabila menerima Anugerah Made For The World 2020 bagi kategori Music Publishing oleh Niaga Times baru-baru ini,” katanya melalui sidang media secara maya baru-baru ini.


Meletakkan kualiti sebagai fokus utama setiap produk yang dikeluarkan. Tambah Ikmal lagi adalah menjadi tugasnya untuk memastikan produk yang dihasilkan Todak Music menepati citarasa peminat selain terus berada di tahap terbaik dan seiring dengan peredaran teknologi dan pasaran semasa.


“Kami sentiasa mengikuti perkembangan dan trend muzik semasa supaya dapat menseimbangkan pengeluaran produk artis di bawah pengurusan kami. Ini dapat dilihat dengan transformasi melalui platform digital seperti YouTube, Instagram, Spotify dan terkini aplikasi Tik Tok yang semakin menjadi trend promosi.


“Di samping itu, kami juga ingin membekalkan produk hiburan yang berkualiti kepada semua komuniti pendengar di dalam mahupun luar negara. Ini termasuklah dengan penglibatan secara langsung dengan komuniti pemuzik komersial dan underground melalui program pembangunan muzik yang kami terbitkan menerusi rakan strategik antarabangsa terutamanya Indonesia, Singapura dan Brunei,” katanya lagi.


Melihat potensi bakat tempatan, jelasnya pihaknya juga dalam usaha untuk terus mencari bakat-bakat baharu yang mampu memenuhi permintaan semasa.


“Ketika ini antara artis yang bernaung di bawah Todak Music ialah Shiha Zikir, Fadh Majid, Razak A’ai dan Dina Nas.


“Melihat keupayaan yang dimiliki Todak Music sebagai sebuah syarikat rakaman, kami juga turut berusaha mencari lebih ramai bakat baharu dengan mengasah serta mencungkil bakat penyanyi yang berkualiti dan berkebolehan di dalam industri hiburan tanah air,” jelasnya.

16 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page