top of page

Todak Fusion tuntut penjelasan YouTube

Sumber Dari Berita Harian

KUALA LUMPUR: Belum pernah berlaku momentum sesebuah karya boleh turun naik apabila ditayangkan dalam laman YouTube.


Pelik, tetapi benar, tetapi itulah nasib malang menimpa penyanyi, Shiha Zikir menerusi single terbaharu berjudul AEWO. Umpama disabotaj, penyanyi genit itu kehilangan jumlah penonton, sekali gus mengundang persoalan ramai termasuklah pihak pengurusan, Todak Fusion Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Fusion, Ikmal Fareeq berkata, permasalahan sudah disuarakan kepada pihak YouTube, tetapi masih menunggu maklum balas hingga hari ini.


"Penonton 'ghaib' atau penurunan jumlah tontonan ini sukar untuk difahami. Jika ia sudah ditonton, bagaimana penurunan boleh berlaku? Adakah ini perkara normal atau ada sesuatu yang tidak kena?


"Bertambah musykil apabila turun naik jumlah tontonan video muzik AEWO berlaku secara kerap. Saya perhatikan setiap kali mencecah 300,000 tontonan, pasti berlaku penurunan yang banyak pada minggu sama. Rekod paling rendah adalah 170,000 penonton.


"Jika masalah ini tidak berlaku kemungkinan besar video muzik AEWO sudah mencecah satu juta penonton. Kami akan menuntut penjelasan pihak YouTube," katanya kepada BH Online.


Ikmal berkata, proses menghasilkan video muzik AEWO menuntut perancangan yang teliti, membabitkan kreativiti secara berpasukan dan usaha bukan sedikit.

"Todak Music, Shiha, penari latar dan seluruh tenaga produksi bertungkus-lumus memerah idea terbaik bagi menghasilkan video muzik bertaraf antarabangsa.

"Kami ingin membuktikan industri kreatif di Malaysia tidak pernah ketinggalan, mampu mencipta karya setanding K-Pop yang mendominasi pasaran muzik global ketika ini.


"Oleh kerana usaha optimum yang dicurahkan, kami berharap pihak YouTube dapat memberi penjelasan mengenai permasalahan yang berlaku. Harapan kami, penonton video muzik AEWO dapat dikembalikan," katanya.

Sebelum ini, bermula dengan jumlah 100,000 tontonan kurang 24 jam selepas dilancarkan pada 5 Ogos lalu, gelombang penonton terus meningkat hari demi hari. Bagaimanapun, jumlah merundum hingga 170,000, berbanding catatan tertinggi 381,095 pada hari ke-5 ditayangkan.

Bukan hanya jumlah penonton tiba-tiba 'ghaib', jumlah 'view' pada video muzik AEWO bergerak perlahan dan berada dalam kedudukan statik iaitu dengan jumlah tontonan 381,603.


Sumber Dari Berita Harian.
7 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page