top of page
izzlynzrh

Shiha Zikir, tamak atau versatil?

Sumber Dari Kosmo

TERUS terbang tinggi dan bebas ke mana-mana sahaja. Itu prinsip dalam genggaman selebriti versatil, Shiha Zikir sepanjang bergelar anak seni lebih sedekad lalu.


Laluannya sebagai anak seni bukanlah semudah yang disangka, ada masanya penuh berliku sehingga sesekali namanya seperti dilupakan dalam dunia hiburan tempatan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berkat usaha tanpa lelah memahat nama sebagai anak seni, pelbagai tawaran dan kejayaan berjaya diraihnya.


Tidak hanya nyanyian, kini lakonan, pengacaraan dan komedi menjadi bahagian daripada pintu-pintu kariernya.

Terbaharu, dia mencabar diri menyahut tawaran sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio terkemuka tanah air.

Jika tidak mengenalinya, pasti ada yang melabelkan Shiha sebagai tamak kerana mengaut semua peluang.


Pendek kata, sebut sahaja nama Shiha, pasti tidak ada yang bertanya dua kali, siapakah empunya diri.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu AEWO itu bagaimanapun mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan omongan negatif segelintir pihak, khususnya pembenci berhubung isu tersebut.


Tidak tamak

“Saya bukan manusia yang tamak hendak kaut semua kerja tetapi niat hanya ingin mencuba pelbagai cabang kerana dari situlah akan tahu kekuatan sebenar saya.

“Selain itu, saya akan menolak mana-mana tawaran sekiranya rasa kurang selesa atau kurang yakin dapat memberikan yang terbaik untuk sesuatu tugasan,” tuturnya kepada HibGlam baru-baru ini.


Yakin dengan kemampuan sendiri, Shiha bertegas, menerima dan mencuba pelbagai bidang bukan tindakan salah atau melanggar undang-undang.

“Ayat yang sesuai untuk persepsi orang mengenai hal ini adalah I don’t care (saya tidak kisah), kerana bukan satu kesalahan pun meneroka bidang cabang lain.

“Saya seboleh-bolehnya memang tak ambil kisah pun apa orang cakap. Jika sibuk fikir semua itu, satu benda pun saya takkan buat.

“Dahulu saya begitu, fikir kata-kata orang tetapi sekarang tidak lagi,” kata pemilik nama penuh Nurshiha Mohd. Zikir itu.


Meskipun enggan mengendahkan persepsi umum, bekas peserta program Dangdut Academy Asia 2015 tetap terbuka menerima sebarang komen khalayak.

“Kalau boleh memang nak cuba semua perkara dalam bidang seni. Jika nak buat sesuatu, lakukanlah betul-betul.

“Itulah pesanan yang saya pegang dan pesan kepada semua orang.

“Saya juga okey untuk menerima sebarang komen dan maklum balas mengenai setiap hasil kerja saya,” ujarnya lagi.


Cabaran watak serius

Beralih tentang perkembangan terbaharunya, Shiha yang kini muncul menerusi naskhah Ada Apa Dengan Saka tidak menafikan watak serius mampu mencabar kemampuannya sebagai pelakon baru.

“Awalnya saya sangka watak komedi tetapi selepas diterangkan oleh pengarah, rupa-rupanya saya kena bawa watak serius. Lari daripada kebiasaan.

“Mula-mula agak sukar untuk mencari emosi tersebut tetapi lama-kelamaan semuanya berjalan lancar. Sekurangya-kurangnya saya tahu kemampuan diri sendiri,” ujar wanita berusia 34 itu serius.


Sempat berkongsi pengalaman, Shiha yang pernah popular menerusi drama Perisik Cinta Tidak Diundang memberitahu satu perkara yang sentiasa dilakukan di set penggambaran adalah rajin mengutip ilmu daripada pelakon lain.

Baginya, setiap ilmu yang dikongsi sangat mahal dan tidak boleh dijual beli di mana-mana.


“Di set penggambaran, saya akan meletakkan diri sekerdil mungkin dan banyakkan bertanya pelbagai perkara dengan pelakon senior.

“Selain ringan mulut, saya juga suka perhatikan setiap gerak-geri pelakon senior. Bagaimana mereka membawa diri dan cara mendapatkan emosi untuk setiap watak. Semua itu sangat penting buat saya yang masih baru dalam bidang lakonan,” ujarnya lagi.


Dalam pada itu, dia mengakui masih belum berkesempatan untuk menyertai mana-mana kelas lakonan.


“Sejujurnya saya masih belum menyertai mana-mana kelas lakonan. Selain bertanya, saya juga akan menghubungi rakan-rakan selebriti yang banyak pengalaman untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Bukan sahaja tentang lakonan tetapi juga sebagai pengacara, penyanyi, penyampai radio dan pelawak.


“Mudah kata, banyakkan bertanya. Orang kata, kalau malu nanti sesat jalan,” jelasnya.

Menerusi Ada Apa Dengan Saka, siaran saluran TV9 tersebut, Shiha turut bergandingan dengan pelakon Syazwan Zulkifly, Wanns Ahmad, Myra Natasya, Dynas Mokhtar, Watie Elite dan Azri Iskandar.


Sumber Dari Kosmo
8 views0 comments

Comments


bottom of page