top of page

Kay Khydir optimumkan TikTok cipta populariti

Penulis: Fatin Farhana

Sumber: ABPBH

Tarikh: 15/03/2022



KUALA LUMPUR: Bekas peserta musim ketiga program realiti terbitan TV3, Lagu Cinta Kita (LCK3), Kay Khydir mengakui mencuba pelbagai cara untuk menyerlah dalam dunia seni suara, namun nasib belum menyebelahi dirinya.


Namun, Kay atau nama sebenar, Nur Khaidir Muhid, 34, tidak pernah berputus asa dan bersyukur langkah untuk aktif di laman sosial, TikTok membuahkan hasil positif.


"Selepas dua tahun dunia diuji dengan pandemik COVID-19, saya kembali aktif dengan menyertai LCK3. Malangnya, tiada tempat saya dalam program itu. Tetapi tidak mengapa, saya anggap peluang beraksi di LCK3 sebagai pembakar semangat untuk saya kembali aktif.


"Namun, saya tidaklah terfikir untuk mencipta sesuatu semata-mata hendak mengejar 'viral'. Namun, saya fikir, langkah permulaan untuk aktif di TikTok sebagai tindakan betul.


"Sejak aktif di TikTok, Ogos lalu, saya nampak perkembangan positif. Buktinya, apabila beraksi di Konsert Todak & Friends, rata-rata pengikut saya di TikTok ramai menyaksikannya," katanya kepada BH Online.


Kay ditemui pada sidang media Konsert Todak & Friends, Revolusi Concert 2022 di The Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPac), Petaling Jaya, baru-baru ini.


Kay menganggap TikTok sebagai platform paling sesuai untuk berkomunikasi dan merapatkan jurang antara artis serta peminat yang sudah lama tidak bersua muka. - Foto IG Kay Khydir


"Kita tahu tidak boleh anjurkan konsert dan persembahan untuk berjumpa peminat, jadi, platform media sosial menjadi tempat saya berkomunikasi.


"Bagi saya, TikTok adalah platform yang positif dan warga TikTok sangat menyokong. Saya sayang mereka hingga tukar nama kelab peminat iaitu Kay Khydir Supporters (KKS) kepada Kesayangan-Kesayangan Saya (KKS).


"Mereka selalu beri sokongan kepada saya. Setiap kali saya buat live di TikTok, mereka sokong dan kami bertukar-tukar pendapat," katanya.


Kay yang bernaung dengan Todak Music berkata, TikTok menjadi platform untuk dirinya terus berkarya.


"Mungkin ada orang pandang sinis dengan TikTok. Namun, itulah tempat saya selesa berkomunikasi dengan orang ramai. Apabila saya baca komen positif, saya jadi lebih bersemangat.


"Apabila bersemangat, saya mahu berkarya dengan baik pada masa depan. Saya mungkin tidak akan berada di TikTok selamanya. Tetapi apa yang saya dapat sedikit-sebanyak membantu kerjaya seni saya," katanya.


Berikutan aktif di TikTok dan memiliki ramai pengikut, Kay mempunyai saluran Telegram untuk berkomunikasi dengan peminat.


Bercerita lanjut mengenai kerjaya seni, adik kepada penyanyi dan bekas peserta musim keempat program realiti, Akademi Fantasi (AF4), Diddy ini bakal melancarkan single bersama Shiha Zikir berjudul Ulang.


"Lagu ini istimewa kerana menampilkan penyanyi dan sahabat yang menjadi idola saya, Shiha. Single ini ibarat nafas baharu saya bersama Todak Music.


"Sama seperti judulnya, saya harap lagu ini dimainkan berulang kali di semua platform digital," katanya.

6 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page