top of page
nadlin6

Shiha tampil dengan muzik K-Pop

Sumber dari Berita Harian | 23.8.2021


KUALA LUMPUR: Penyanyi Shiha Zikir, 33, tidak mampu hanya duduk bergoyang kaki, tetap mengatur strategi demi kerjaya muzik biarpun berdepan situasi getir pandemik COVID-19.


Hampir setahun tidak muncul dengan buah tangan terbaharu, naib juara program realiti, Mentor musim kelima itu tampil dengan single berjudul Irama.


Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir berkata, banyak perkara dipelajari selepas lebih sedekad menghayun kaki dalam bidang nyanyian.

"Selama hampir 10 tahun ini mengajar saya banyak perkara, ia secara tidak langsung mengasah bakat saya untuk terus menyerlah.



"Saya kini sedang memahirkan diri menyampaikan lagu dalam pelbagai genre agar dapat mengembangkan bakat ke negara jiran seperti Korea, Thailand dan lain-lain lagi.


"Walaupun single Irama dinyanyikan dalam bahasa ibunda kita, namun muziknya tidak seperti karya biasa yang pernah dinyanyikan.


Baru menerima pengiktirafan menerusi Best of Asian - Pop dalam InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 kelolaan agensi yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Shiha berkata, single Irama adalah dua label muzik iaitu Todak Music & Alternate Records & Talent.


"Single Irama berentak 'catchy' mendapat sentuhan komposer, Iqi Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves.


"Ia diinspirasi daripada genre K-Pop yang menjadi kegilaan dan trend muzik terkini.

"Karya ini mengangkat kisah seorang perempuan yang sangat menyukai lelaki yang baru sahaja dikenalinya," katanya yang kali terakhir muncul dengan single AEWO pada Julai, tahun lalu.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Todak Fusion, Ikmal Fareeq berkata, kerjasama yang terjalin antara Todak Music dan Alternate Records & Talents sebagai langkah bagi mengembangkan dan merancakkan karya terutama buat Shiha.


"Kami teruja dengan kolaborasi ini kerana Alternate Records baru sahaja melakukan penjenamaan semula dengan cita rasa dan hala tuju seiring dengan kami.


"Todak Music bakal menerbitkan lima lagu dan satu album menjelang akhir tahun ini, sekali gus meningkatkan peluang produktiviti penggiat seni dalam keadaan pandemik ini," kata Ikmal Fareeq.


Single Irama sudah dilancarkan di semua pelantar digital sejak 20 Ogos.

11 views0 comments

Comments


bottom of page