top of page

Shiha tak pernah impi bergelar pelakon

izzlynzrh

Sumber Dari Berita Harian

KUALA LUMPUR: Tidak hanya bergelar penyanyi, Shiha Zikir, 34, mengembangkan sayap perjuangan dalam bidang lakonan, pengacaraan dan terbaharu, dunia penyiaran radio.


Justeru, tidak dapat disangkal apabila pengacara, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil mengatakan Shiha sebagai salah seorang bekas peserta Akademi Fantasia (AF) yang berjaya dan merendah diri sehingga hari ini.


Shiha berkata, dia tidak pernah menyangka perjalanannya sebagai anak seni mampu bergerak sejauh itu.

"Sudah dua kali Pak Nil menyebut nama saya apabila ada bertanya siapa peserta mahu cuba menyertai AF, tetapi tidak diterima, namun masih dalam industri seni.


"Secara ikhlas, saya memang terharu. Ini kerana saya bukan pelajar AF, tak sempat nak sertai kerana saya disingkirkan pada Konsert Prelude AF musim ketiga.

"Kerjaya nyanyian saya bermula selepas menyertai program Mentor pada 2010, di bawah bimbingan Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Rezeki saya apabila bergelar naib juara dan Alhamdulillah, sekarang saya masih di sini," katanya kepada BH Online.


Terdahulu, Aznil menyebut nama Shiha ketika ditanya pengacara program MeleTop, Nabil Ahmad mengenai siapakah peserta AF yang berjaya hari ini.

Shiha, antara peserta AF yang kecundang pada Konsert Prelude AF3 dan tidak berjaya mara dalam kelompok 12 pelajar yang layak meneruskan program itu.


Dengan itu, Shiha berkata, dia sentiasa bersyukur terus diberikan kepercayaan mencuba perkara baharu.


"Alhamdulillah, penerbit dan pengarah memberi ruang untuk saya menerokai benda baharu. Jujurnya, saya hargai setiap peluang diberikan.

"Bagaimanapun, fokus utama adalah mencari rezeki. Populariti diperlukan setiap artis, tetapi saya bukannya mengejar populariti.

"Bagi saya, biar orang kenal atas bakat dan produk. Bukannya kontroversi yang boleh membuatkan nama saya disebut-sebut," katanya.


Seterusnya, Shiha berkongsi, antara peluang mengujakan apabila diberi peluang menghidupkan watak utama menerusi Perisik Cinta Tak Diundang yang kini sedang disiar menerusi slot Akasia di TV3.

Kata Shiha, sebelum ini, dia sering diberikan watak berunsurkan komedi, tetapi kali ini, agak berbeza apabila menjayakan watak Cef bernama Medina Mikayla yang bermain dengan pelbagai emosi.


"Akhirnya, impian saya nak muncul menerusi slot Akasia tercapai. Namun, pada masa sama, saya gementar memikirkan apa pandangan pelakon lain, saya bukannya seorang pelakon.

"Mungkin ada yang suka dan sebaliknya. Bagaimanapun, semua pelakon yang terbabit banyak membantu saya. Dari situ, saya banyak belajar dan memperoleh pengalaman baharu.


"Jujurnya, saya tak sangka boleh berada dalam bidang lakonan. Saya tak pernah terfikir nak jadi pelakon. Insya-Allah, saya mahu banyak karakter yang lebih mencabar," katanya.

Shiha ditemui pada sidang media drama terbaharu, Perisik Cinta Tak Diundang secara virtual, semalam.


Drama arahan Azmi Hatta, Shiha bergandingan Andi Bernadee, Hafidz Roshdi, Bella Astillah, Wany Kayrie, Esma Daniel, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Drama diinspirasikan dari novel Puteri Aqish itu ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman Viu secara eksklusif pada jam 8 malam.

Sumber Dari Berita Harian

3 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page