Rancak bikin album keempat

Sumber Dari Harian Metro

SEKITAR 20 tahun lalu, dalam keghairahan band tempatan memperjuangkan aliran muzik rock dan pop rock, muncul band yang unik dan berani menongkah arus.

Menggunakan nama Gerhana Ska Cinta (GSC), mereka terus menghasilkan karya segar dan diingati.

Kali terakhir GSC muncul dengan album adalah pada 2007 menerusi This Is Ska manakala single terakhir mereka adalah pada 2016 berjudul Perosak Cinta.


Mahu terus menyumbang dalam industri muzik tanah air yang terus berkembang, GSC kini rancak mempersiapkan album keempat.

Diterajui empat anggota asalnya iaitu Widy, Edy, Fairuz dan Skaloot, GSC turut disertai dua bakat baru, Zul dan Nadzmi.

Menurut Edy, misi utama GSC adalah mengembalikan zaman kegemilangan album fizikal.


“Zaman sekarang berbeza dengan 20 tahun lalu. Kalau dilihat dari segi penghasilan album, ramai artis sekarang lebih selesa muncul dengan single.

“Kalau ada pun, mereka sekadar hasilkan album digital. Kalau boleh, kami mahu mengembalikan zaman kegemilangan album fizikal,” katanya.

GSC turut berkongsi kos penerbitan album baru itu ditanggung sepenuhnya oleh mereka sendiri.

“Kami tidak bernaung di bawah mana-mana label, jadi kos penerbitan album kami keluarkan sendiri.


“Semuanya adalah hasil jualan barang cenderamata dan sebagainya yang kami kumpul,” kata Edy.

Ditanya perbezaan antara proses rakaman album masa kini berbanding album terdahulu, Edy mengakui mereka lebih matang.

“Di samping kos penerbitan yang tidak setinggi dulu, pembawaan muzik kami juga lebih matang. Masing-masing punya kelebihan dan kami cantumkan pengetahuan yang ada untuk hasilkan album baru,” katanya.


Persaingan sengit dalam industri hari ini menjadi cabaran utama buat GSC.

“Kami sedar, persaingannya sangat sengit memandangkan ada ramai artis baru.

“Kalau boleh dengan kehadiran album baru kami nanti, ramai akan membeli cakera padat dan tiket untuk menonton persembahan,” katanya.

Ditanya mengenai konsep album baru, Widy berkata mereka masih mengekalkan genre ska.


“Bezanya, kali ini kami lebih banyak bereksperimen dengan bunyi dan akan berbalik kepada proses rakaman analog seperti yang kami pernah gunakan dalam pembikinan album pertama,” katanya.

Album baru itu nanti akan dimuatkan dengan sembilan atau 10 lagu dan kini baru 20 peratus siap.


Konsert di Singapura

Tidak banyak band mampu bertahan selama dua dekad tanpa ada sebarang masalah dalaman.

Bagi GSC, mereka mempunyai rahsia dan formula tersendiri dalam memastikan silaturahim berkekalan dan terjaga.


Menurut Fairuz, setiap kumpulan muzik perlu ada pendamai sekiranya timbul pertelingkahan.

“Rahsia kami adalah setiap kali timbul pertelingkahan atau salah faham, perlu ada seorang pendamai.

“Satu lagi, jangan ada batu api dalam band kerana itu yang akan merosakkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.


Bagi Edy pula, setiap permasalahan pasti ada penyelesaian.

“Sekarang sudah mudah kerana ada aplikasi WhatsApp. Jadi, kalau ada sebarang masalah timbul, kami boleh berbincang di situ sekiranya masing-masing sibuk.

“Seperkara lagi, setiap masalah akan ada penyelesaiannya. Daripada perbincangan, kami akan dapat cari solusi untuk atasi masalah itu,” katanya.

Diminta menitip pesanan dan nasihat buat band baru, Edy menekankan aspek kesefahaman.


“Selain kecintaan atau minat mendalam terhadap muzik, perlu juga kerap berlatih dan paling penting adalah kesefahaman.

“Band generasi baru beruntung kerana mereka ada banyak platform untuk mempromosikan diri serta karya.

“Jadi, kena serius dalam setiap apa yang mereka lakukan dan buat sehabis baik,” katanya.


Walaupun agak lama GSC tidak muncul membuat persembahan, nama mereka masih diingati peminat tempatan dan Singapura.

Malah GSC mengakui mereka lebih dihargai di negara jiran berbanding tanah air sendiri.

“Orang sana (Singapura) lebih menghargai kami manakala orang kita lebih menghargai band luar,” kata Eddy.


Menurutnya, mereka memilih mengadakan konsert Gerhana Ska Cinta 20th Anniversary di Singapura kerana ada penganjur yang sudi membawa mereka.

“Artis mana yang tidak mahu buat konsert di tanah air sendiri, namun tidak ada penaja atau penganjur yang sudi merealisasikannya.

“Apabila mendapat peluang daripada penganjur di Singapura iaitu Reza Global Production, kami tak lepaskan peluang,” katanya.


Konsert Gerhana Ska Cinta 20th Anniversary akan berlangsung pada Rabu ini di Esplanade, Singapura.

Mereka giat menjalani latihan sejak dua minggu lalu dan akan menyampaikan 20 lagu dalam konsert berdurasi satu setengah jam itu.

Selain GSC, konsert itu juga akan menampilkan artis jemputan dari Singapura, Singaraga.

Sumber Dari Harian Metro

1 view0 comments