Sumber Dari Utusan
Siapa sangka, bintang ini mendominasi pada Anugerah MeleTop Era (AME)2021 yang berlangsung hujung minggu lalu.
Buat julung kalinya penyanyi lagu Aewo ini mencipta sejarah tersendiri apabila membawa pulang lima trofi.
Shiha mengungguli anugerah Top Top MeleTop Wanita. Dia turut meraih empat kategori lain iaitu Artis versatil MeleTop, Bintang Filem Meletop serta dua anugerah yang dimenangi bersama penyanyi rap, Noki iaitu Duo MeleTop dan Lagu MeleTop Era.
Bagi figura berwajah persis penyanyi terkenal Indonesia, Rossa ini, sudah pasti dia tidak menjangka akan menerima pengiktirafan sebegini.
Dia mendedahkan namanya sebelum ini agak sukar untuk tercalon apatah lagi tersenarai dalam lima teratas.
“Selama 12 tahun dalam industri. Selalunya nama saya tercalon untuk pencalonan awal pun susah. Namun, saya tidak pernah terasa hati kerana ia adalah atas dasar pilihan masing-masing.
“Mungkin saya tidak hebat seperti orang lain kerana bakat saya tidak besar macam mereka. Tetapi, saya amat berbangga dengan diri kerana jiwa saya dalam industri muzik itu sangat kuat.
“Setiap perkara yang saya lakukan, tidak langsung mengharapkan ganjaran atau sebaliknya. Malah, saya juga tidak harap pujian daripada orang ramai,” katanya.
Mengulas lanjut, kecintaan dan jiwa yang amat mendalam terhadap muzik adalah alasan mengapa dirinya masih kekal berada di sini.
“Sudah berpuluh lagu yang saya sudah keluarkan, tetapi ada yang tidak tahu pun. Tetapi kenapa saya masih di sini? Sebab jiwa saya.
“Itu sebabnya saya tidak hiraukan apa orang lain cakap, asalkan jiwa saya di sini. Walau ditakdirkan saya bukan dalam ‘mainstream’ sekali pun, saya tetap menyanyi,” ujarnya.
Sedia terima tekanan Menang besar di malam berprestij itu secara tidak langsung meletakkan nama ‘Shiha’ di liga industri tersendiri sebaris dengan anak seni terkenal yang lain.
Namun, sudah pastinya kemenangan tersebut membuka mulut para ‘haters’ melontarkan kata-kata yang kurang enak didengar buat dirinya.
Menyedari perkara tersebut, Shiha menyatakan pasti ada segelintir pihak akan mempertikaikan keputusan dan menganggap dia tidak layak diberi pengiktirafan tersebut.
Bagaimanapun, dia percaya soal rezeki. Andai sudah tertulis di Luh Mahfuz atas kurniaan rezeki buat seseorang itu, siapa kita untuk mempertikaikannya?
“Setiap apa yang saya dapat, saya anggap ini amanah yang perlu digalas. Dan kemenangan ini pastinya saya ingin buat yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Dari dahulu lagi saya memang percaya soal rezeki ini. Jika sudah tertulis itu adalah rezeki kita, orang suka mahupun tidak, malah para peminat ramai sekali pun kalau tuhan nak tetapkan rezeki. Inilah dia.
“Perasaan bercampur baur apabila saya menang anugerah ini. Saya hargai apa yang saya telah dapat ini kerana ia adalah hasil undian mereka yang menyokong saya. Walau mesti ramai akan berkata ‘kenapa dia ini menang?’.
“Saya memang seorang yang sedar diri. Tetapi apabila fikir setiap anugerah dari segi undian ini, memang kita sukar untuk jangkakan,” tuturnya.
Sama sekali enggan mengambil pusing apa kata orang, dia bersedia sahaja menerima tekanan selepas ini kerana akui tidak mudah untuk mengawal setiap reaksi orang sekeliling.
“Saya bersedia untuk terima tekanan. Akan ada, tetapi saya fikir satu sahaja. Buatlah apa pun, akan ada orang bercakap kurang enak tentang awak. Bukan senang nak mengawal kata-kata orang.
“Cuma satu sahaja yang saya nak kata, saya hargai sangat buat semua yang menyokong. Saya juga sudah berjanji kepada diri sendiri selepas ‘tersakiti’ sebelum ini dengan kata-kata orang, bahawa saya ‘saya langsung tidak mengambil kisah’.
“Cakaplah sepuasnya hati kamu, sebab ini media sosial dan industri. Kami semua ini milik kamu semua. Sebab itu semua berhak nak cakap apa pun, jadi hendak lama dalam dunia seni ini kena hati kental dan kuat,” jelasnya.
Tak simpan, saya maafkan sepenuh hati Terima kasih. Itulah perkataan pertama yang keluar dari kata-kata figura ini kepada segelintir pihak yang masih memandang rendah terhadap dirinya.
Dia percaya segala perkara pahit yang berlaku selama 12 tahun membenihkan nama dalam industri ini pasti ada hikmah besar yang mendatang, seperti apa yang diperolehnya malam itu.
“Apa yang saya boleh katakan adalah, terima kasih. Dulu kan, apabila saya membaca komen netizen pun membuatkan diri saya ‘down’.
“Sakit itu memang sakit sangat. Hanya keluarga sahaja yang dapat melihat bagaimana keadaan saya masa itu.
“Namun, perkara yang pahit itu sebenarnya hikmahnya besar. Jadi saya sudah tidak kisah perkara-perkara lain, asalkan saya dapat fokus. Saya tahu apa yang saya nak dan kenapa buat perkara itu,” dedahnya.
Tiada sifat pilih kasih dan profesional, penyanyi lagu Irama itu mudah didekati dan tidak memilih sesiapa yang ingin bekerja dengannya.
“Orang suka, Alhamdulillah. Tidak suka pun, Alhamdulillah. Kalau orang yang mengenali saya kan, saya tidak kisah sesiapa pun tiada favouritism.
“Dalam industri ini, sesiapa yang baik dengan saya. Saya baiklah semula. Tetapi jika sebaliknya, saya tidak ambil hati. Kerana masing-masing ada ‘favourite’.
“Saya ingat satu sahaja, setiap kejayaan pastikan perlukan usaha. Jangan putus asa,” ujarnya.
Tak berhenti air matanya sebelum ini apabila membuka cerita mengenai perihal seorang rakan artis yang tergamak menghina diri dan kerjayanya.
Apabila bertanya mengenai peristiwa hitam itu, hilang kata-katanya seketika. Mendongak ke atas, tidak tertahan untuk menahan sebak.
Walaupun tetap enggan mendedahkan siapakah individu terkutuk tersebut, dia menganggap mungkin insan berkenaan tiada niat untuk berkata sedemikian terhadap dirinya kerana mengakui dia adalah seorang yang mudah terasa.
Enggan mengenang kisah lalu, Shiha memaklumkan dia sudah memaafkan sepenuh hatinya dan tiada menyimpan sebarang dendam. Yang berlalu biarlah berlalu.
“Mungkin dia tiada niat apa-apa, saya lebih terasa hati. Saya pula jenis yang mudah terasa hati orangnya. Nampak sahaja happy go lucky.
“Jadi, saya tidak mahu komen lebih lanjut tetapi saya percaya dia tiada niat pun. Dia seorang yang sangat baik.
“Bila difikirkan semula, saya yang mudah terasa. Jadi saya letak perkara itu dalam diri ini, mungkin itu salah saya. Saya tidak simpan dalam hati, saya maafkan sepenuh hati,” tuturnya bernada sebak.
Mahu cipta nama Pastinya dengan kejayaan terbaharu yang dikecapi ini secara tidak langsung membuka lembaran baharu buat bintang si kecil molek ini.
Bagi perkembangan karier selepas ini, Shiha merancang untuk menerbitkan sesuatu di Korea dan untuk nama tanah air lebih dikenali.
Mengenali Shiha, dia seorang yang tidak pernah mendongak ke langit.
“Insya-Allah rancangan akan datang saya ke Korea untuk menerbit sesuatu, atleast mereka sokong. Jika saya ke sana, saya akan cakap mereka terus terang yang diri ini ‘nobody’ di Malaysia.
“Saya tidak pernah merasai yang saya ini terkenal. Never. Bukan merendah diri, tetapi saya sedar diri yang saya di mana. Cuma, saya suka orang luar sebut nama negara kita.
“Saya teringin juga nak terokai negara-negara lain. Jadi, selepas ini fokus saya Insya-Allah ingin membawa nama Malaysia ke tempat lain pula,” tuturnya panjang.
Sumber Dari Utusan
Comments