Search

Peluang Fadh Majid bekerjasama dengan Ajai dan Fedtri Yahya

Updated: Jun 1

3 April 2021 | Sumber dari UtusanTV




SELEPAS pembabitannya dalam program realiti Big Stage 2020, penyanyi Fadh Majid mula mengukir nama di pentas hiburan tempatan dengan pesona suara maskulin yang dimiliki.


Kini Fadh atau nama penuhnya Muhammad Fadhlullah Abdul Majid tampil dengan single terbaharu berjudul Tak Mungkin Mendua yang merupakan hasil ciptaan komposer terkenal Ajai dan Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Menurut jejaka berusia 27 tahun itu, karya tersebut menceritakan tentang kesetiaan seorang lelaki terhadap pasangannya yang lebih tahu menghargai dirinya jika dibandingkan cinta pertama.


“Percintaan seumpama ini cukup sinonim dan seringkali terjadi dalam dunia nyata. Meskipun ia sebuah kisah klise, namun mesej positif terus diterapkan dimana pentingnya kesetiaan dan menghargai insan yang bersama kita tatkala susah atau senang,” katanya.


Selain aktif dalam dunia nyanyian, anak kelahiran Melaka ini turut mengasah bakatnya dalam bidang lakonan. Peluang membintangi beberapa buat drama dan telemovie terbitan syarikat televisyen popular tempatan, merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan buatnya.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Todak Music Ikmal Fareeq berkata, Fadh memiliki suara unik yang jarang-jarang ada di Malaysia. Itu adalah salah satu faktor utama pemuda itu terpilh sebagai artis di bawah naungan syarikatnya.

“Sebagai seorang yang sudah lama berkecimpung dalam industri muzik tanah air, saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap lagu ini kerana ia sebuah karya sentuhan Ajai dan Fedtri. Ditambah pula dengan gaya nyanyian Fadh yang unik, bahkan berharap lagu ini dapat diterima semua dan mendapat sambutan hangat’,” ujarnya.


Bagi Pengurus A&R Todak Music iaitu Kamarul Arifin (Arul) berkata, lagu terbaru dari Fadh kali ini sedikit berbeza daripada biasa.

“Pemilihan genre kali ini diselitkan elemen ‘fusion’ antarabangsa namun tetap mengekalkan melodi asal citarasa melayu agar tetap boleh diterima oleh pencinta muzik tempatan,” jelasnya. Tak Mungkin Mendua, kini boleh didengari di semua platform penstriman dan boleh dimuat turun menerusi Apple Muzik serta dijadikan nada dering di semua telekomunikasi. Manakala lirik video boleh ditonton menerusi saluran YouTube Todak Muzik.




2 views0 comments