top of page

MAHU JENAMA TODAK DIKENALI DI PERINGKAT GLOBAL

Sumber Dari Niaga Times

Mengambil keputusan untuk melakukan perubahan besar terhadap sebuah syarikat yang ditubuhkan daripada hasil titik peluh sendiri bukanlah sesuatu tindakan mudah buat Mohd. Ikmal Fareeq Shamsul Bahri. Bagaimanapun, usahawan berusia 37 tahun itu tidak pernah sesekali menyesali keputusannya untuk melakukan penjenamaan semula ke atas syarikat yang dibina 10 tahun lalu iaitu Devign Studios kepada Todak Fusion pada 2018.


Sebaliknya Mohd. Ikmal Fareeq optimis perubahan itu sebagai satu prospek buat dirinya untuk mengembangkan perniagaan bersama rakan kongsi yang mempunyai minat dan ideologi sama seperti dirinya dalam misi memajukan bisnes.


Setiap pengalaman yang diperoleh sepanjang terlibat dalam industri seni hampir 20 tahun dijadikan sebagai sebagai guru terbaik buat dirinya untuk terus mengorak langkah maju ke hadapan dalam perniagaan.

Buktinya Todak Fusion yang mula beroperasi pada April 2019 terus mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan walaupun usia syarikat itu boleh dianggap masih mentah dalam industri.


Todak Fusion berperanan sebagai stesen digital televisyen, pengurusan acara, syarikat rakaman serta bertindak selaku pengaktifan jenama bagi semua produk di bawah Todak seperti e-sukan.

Bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Todak Fusion, Mohd. Ikmal Fareeq perlu sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif bagi memastikan setiap yang direncanakan membuahkan hasil bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga masyarakat khususnya golongan bumiputera.


Jelas anak kelahiran Kelana Jaya, Selangor itu, misi syarikat itu sendiri adalah untuk menaikkan usahawan bumiputera ke satu fasa yang lebih baik bukan sahaja di dalam negara malah ke peringkat antarabangsa.

Malah menurut Mohd. Ikmal Fareeq, Todak dipilih sebagai nama syarikat adalah kerana pihaknya mahu menaikkan dan mengekalkan keaslian jati diri Nusantara apabila berada di pasaran antarabangsa.


“Saya mengambil masa lebih enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk terlibat dengan Todak malah penubuhan syarikat ini pula melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi memastikan kami betul-betul bersedia.


“Bagi memperkenalkan jenama Todak kami menganjurkan Todak Fest, Malaysian Largest E-sports Festival 2018 buat julung-julung kalinya yang menerima reaksi yang pelbagai daripada masyarakat,” ujar pemegang Diploma Kreatif Multimedia dari Akademi Multimedia MTDC itu.


Menurutnya, pihaknya memilih untuk memperkenalkan e-sukan kepada masyarakat selepas melihat transformasi industri teknologi yang semakin cepat berubah selain ia mampu memberi peluang kerjaya kepada masyarakat.


“Jika kita tidak berubah sekarang mengikut perubahan teknologi, mustahil mereka yang berada dalam industri kreatif ini dapat bersaing dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Maka kami memberi pendedahan kepada ibu bapa untuk melihat industri ini


dalam skop yang lebih luas kerana ia bukan setakat permainan ‘online’ semata-mata sebaliknya anak-anak mereka boleh menjadi atlet dan akhirnya menjadikan ia sebagai kerjaya dengan memperoleh pendapatan lumayan,” ujarnya.


Mohd. Ikmal Fareeq memberitahu, pihaknya kini dalam misi menggilap bakat pemain untuk menjadikan mereka sebagai satu pasukan terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi peringkat global.

Lebih manis apabila pasukan kendalian pihaknya telah dijemput mewakili Malaysia dalam Kejohanan Dunia M1 Mobile Legend di Axieta Arena pada tahun lalu dan berjaya mendapat tempat ketiga.


Malah usahawan tersebut memberitahu, permainan online Together Island yang dibangunkan oleh pihaknya kini turut sudah berada di pasaran antarabangsa seluruh dunia.


“Kami juga terlibat dalam sukan fizikal seperti sukan ekstrem BMX, buktinya apabila atlet kami berjaya mendapat pingat gangsa pada Sukan Sea Filipina 2019 bagi acara BMX Flatland,” jelasnya yang menekankan selain minat dan bakat, seseorang itu perlu berjiwa besar dalam apa jua dilakukan.


Todak yang turut terlibat dalam sukan bermotor juga telah merangkul Juara keseluruhan Champion Super 1,500 NA 2019 pada kejohanan Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Sepang. Malah, kelab sukan Todak Motorsport yang baru sahaja dilancarkan pula bermatlamat menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai sukan permotoran.



Bercerita mengenai perancangan perniagaan masa depan, Mohd. Ikmal Fareeq mahu melebarkan sayap perniagaan menerusi pembukaan francais ke seluruh dunia dengan menggunakan jenama Todak setaraf dengan label terkemuka lain dalam tempoh lima tahun.


“Selain itu, kami turut merancang mahu menubuhkan satu akademi untuk pemain industri seni meliputi pelbagai cabang bagi membolehkan mereka yang mempunyai kelayakan dari segi pengalaman kerjaya untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat.


“Ini kerana ada dalam kalangan kami yang mempunyai pengalaman industri yang cukup banyak tetapi tidak layak untuk menjadi tenaga pengajar hanya kerana ketiadaan sijil setaraf dalam bidang berkenaan,” ucapnya optimis untuk merealisasikan impian itu dalam tempoh 10 tahun.


Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, inisiatif itu adalah salah satu sumbangan pihaknya dalam memberi manfaat kepada masyarakat yang turut merupakan pengguna produk syarikat berkenaan.

Sumber Dari Niaga Times


10 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page