Lantaklah orang hina macam mana – Shiha Zikir

Sumber Dari Kosmo

DALAM hidup, perlu ada perubahan walaupun sedikit kerana jika sentiasa berada di takuk sama, tak akan memberi pulangan berbentuk pengalaman kepada kita.


Menyedari kenyataan tersebut, penyanyi Shiha Zikir terfikir untuk membuat satu anjakan daripada apa yang sedang diusahakannya kini iaitu nyanyian.

Pelantun lagu Irama itu terfikir untuk mencari pelapis karier seninya, sekali gus memberi laluan kepada diri sendiri untuk fokus terhadap kerja-kerja di belakang tabir.


“Setiap orang ada sasaran dalam hidup, contohnya sampai bila nak kekal dengan kerja yang ada sekarang.

“Tapi bagi saya, takkanlah semua benda nak cerita kepada orang. Saya ada sasaran tersendiri dan dah senaraikan pun semuanya.

“Mungkin suatu hari nanti, saya akan duduk di belakang saja. Dalam nyanyian misalnya, saya cari artis lain. Sekarang saya betul-betul mengidam nak cari orang yang macam saya.


“Maksudnya, nak cari orang yang tak fikir langsung pasal popular. Tetapi dia ada minat mendalam dan jiwa seni yang kuat. Lantaklah orang hina macam mana sekali pun, hati tetap kuat.

“Kalaulah saya dapat orang ini, saya pegang betul-betul,” katanya.


Ditemui majlis pelancaran produk kosmetik miliknya, Xmetic di ibu kota baru-baru ini, Shiha kini melangkah setapak bergelar usahawan kosmetik

Dia melebarkan sayap rezekinya dengan memperkenalkan produk kosmetik Xmetic yang merangkumi pelbagai jenis alat solek seperti bedak kompak, maskara, celak garis mata dan pewarna bibir.


Dalam majlis pelancaran yang berlangsung di sebuah hotel tersebut, Shiha menjemput ketua ejen dan stokis produknya yang terdiri daripada pelbagai lapisan latar belakang.

Kata penyanyi berusia 35 tahun itu, perniagaan yang diusahakan sebenarnya ditunjangi niat murni iaitu untuk membantu golongan wanita untuk sama-sama menjana pendapatan.


“Sebenarnya projek produk ini sudah bermula sejak Mac tahun lalu tapi waktu itu saya baru nak mula ‘buka enjin’.

“Tambahan pula waktu itu negara masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi saya buat sesuatu untuk sama-sama cari rezeki bersama orang lain,” ceritanya.


Sasaran

Menariknya, Shiha mengamalkan konsep berniaga sambil membantu apabila mewujudkan tabung untuk semua pekerja yang terlibat dalam perniagaannya.

“Sejujurnya, saya memang bersemangat nak buat bisnes ini. Paling utama sebab dapat kongsi rezeki dengan orang lain.

“Pada masa sama, membantu mereka menambah pendapatan.

“Insya-Allah, saya juga ada sasaran lain iaitu tahun depan saya nak ketua-ketua stokis dan ejen ini pergi menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. Itu target saya,” getusnya.


Menceritakan pengalaman menguruskan perniagaan yang fasa awal ditumpukan di negeri Pantai Timur, Shiha mengakui ada banyak kisah sedih yang menyentuh hatinya.

Fasa sukar dalam kehidupan lama membuatkan penyanyi lagu AEWO memahami apa yang dilalui semua wanita terbabit.


“Mereka ada hati besar untuk mengubah kehidupan. Ada juga mahu mahu membantu suami yang baru kehilangan kerja akibat PKP.

“Malah ada satu kisah yang paling menyentuh hati saya apabila seorang wanita ini, sanggup bekerja jual produk saya walaupun baru beberapa hari bersalin sehingga terpaksa meninggalkan anak kecil,” tutup Shiha.

Sumber Dari Kosmo

1 view0 comments

Recent Posts

See All