Sumber Dari Harian Metro

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir memilih untuk tidak terlalu terbuka dalam menerima tawaran membuat ulasan produk makanan.
Shiha berkata, kerisauan dan pengalamannya yang sebelum ini pernah diuji dengan sakit misteri membuatkannya lebih berhati-hati.
"Saya risau kalau produk makanan dan sebab itulah saya tak buat ulasan makanan. Saya berhati-hati dalam banyak perkara.
"Saya sudah lalui sendiri. Keluarga terdekat saya sahaja yang tahu apa yang berlaku kepada diri saya. Saya doakan orang yang 'buat' itu, dapat kesedaran," katanya kepada Harian Metro.
Diminta mengulas mengenai pengalamannya itu, Shiha berkongsi mengenai situasi yang berlaku beberapa tahun lalu itu.
"Perkara ini berlaku lebih kurang, tiga tahun sebelum dunia dilanda Covid-19. Nak kata tak percaya, tak boleh juga sebab ia memang wujud.
"Pernah satu ketika, sewaktu saya menjalani penggambaran, perut saya kembung. Waktu itu, saya berada di Cameron Highlands.
"Dia punya besar sampaikan jurukamera menegur saya dan katanya, perut saya nampak lebih besar daripada perutnya. Dia nasihatkan saya supaya balik," katanya.
Selepas kejadian itu, Shiha kemudiannya menjalani pemeriksaan di hospital, namun, doktor juga tidak dapat mengenal pasti penyakitnya.
"Memang teruk juga pada ketika itu saya menahan kesakitan. Saya kemudiannya masuk ke sebuah hospital di Ampang Puteri dan dua minggu ditahan di sana.
"Pada masa sama, saya juga turut kehilangan suara. Doktor nasihatkan supaya saya balik dan berubat," katanya.
Terbaru, Shiha kini muncul dengan single baru berjudul Kalam yang membawakan sisi berbeza Shiha sebagai penyanyi.
Sumber Dari Harian Metro
Comentarios