Bersyukurlah, jangan melenting – Shiha Zikir

Sumber Dari Utusan

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Shiha Zikir, akur bakal menyambut hari raya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, apa yang lebih mengusik sanubari Nurshiha Mohd Zikir, 33, kejadian yang menimpa nasib rakyat Palestin ketika menjalani ibadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.


“Alhamdulillah, keluarga semua ada di Kuala Lumpur. Jadi tidaklah terasa sangat macam sedih tak dapat pulang beraya di kampung. Lazimnya, pagi raya pertama saya akan menziarahi pusara arwah bapa. Tapi tak boleh merentas, hanya kiriman doa dari kejauhan saja.

“Sedikit terusik juga hati ini, raya lagi dua hari. Saya terkenangkan nasib saudara satu agama di Palestin. Adakah mereka (rakyat Palestin) akan berhari raya dengan aman bersama sanak-saudara? Dugaan mereka lagi berat jika nak dibandingkan dengan PKP kita di sini. Bersyukurlah kita dan jangan melenting,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.


Bercerita mengenai persiapan raya, Shiha yang juga seorang pelakon berkata, Syawal tetap diraikan walaupun dalam norma baharu.

“Tidak bermakna norma baharu kita kena tolak tepi soal sambut hari raya dengan kemeriahan. Baju raya adalah beli sepasang dua saja, lain-lain buat kuih raya dengan keluarga. Kita kena nikmati saat-saat ini,” ujar Shiha.


Tambah Shiha, Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih ekstra dengan adanya projek muzik video raya terbitan Todak Music.

“Sungguhpun kita sedang melalui fasa pandemik, saya juga rasa seronok bila dapat menyanyikan semula lagu raya dengan pembabitan artis Todak. Kami bersama-sama menyanyikan lagu malar segar, Senandung Hari Raya Untukmu,” katanya.

Antara penyanyi yang menjayakan projek itu ialah Muzza, Fadh Majid, Razak A’Ai, Dina Nasz dan Gerhana Skacinta.


Dalam perkembangan lain, saksikan lakonan Shiha yang digandingkan bersama pelakon, Nazim Othman dalam cerekarama romantik komedi di saluran TV3 pada 29 Mei, Live Dari Kafe Kak Kona.


Sumber Dari Utusan

0 views0 comments

Recent Posts

See All