top of page

Artis 'underdog' bolos senarai Top 5

Sumber Dari Berita Harian

KUALA LUMPUR: Merasakan dirinya artis paling 'underdog' dalam pencalonan awal kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, penyanyi, Fadh Majid, 27, tidak pernah menduga nama mampu membolosi kelompok Top 5.


Fadh atau nama sebenarnya, Muhammad Fadhlullah Abdul Majid, 27, membolosi kelompok finalis bersaing dengan nama popular seperti Dinie Rashid, Meerqeen, Nadhir Nasar dan Aliff Iskandar berkata, ia adalah sesuatu di luar jangkaan untuknya mengalahkan pesaing lebih popular.


"Saya pendatang baharu dan 'underdog' antara calon yang lain. Jadi, saya tak menduga mampu melepasi Top 5. Jujurnya, saya bersyukur dan berterima kasih kepada ABPBH 34 kerana sudi mencalonkan nama saya sebagai calon awal.


"Saya merasakan pencapaian ini adalah atas berkat doa keluarga, syarikat pengurusan, Todak Music dan kelab peminat, Fadh And The Pahlawan. Merekalah sentiasa mendoakan, menyokong dan membuatkan saya layak sehingga berjaya membolosi kelompok Top 5.

DISYORKAN UNTUK ANDA

"Ini amat bermakna, mereka betul-betul sayangkan saya. Alhamdulillah," kepada BH Online.

Mengulas komen sesetengah pihak mempertikaikan kelayakannya, Fadh berkata, dia percaya rezeki ketentuan Tuhan.


"Ini semua rezeki dari Allah. Seperti mana tiga rahsia Allah yang kita tidak tahu iaitu jodoh, ajal maut dan rezeki.

"Jika sudah namanya rezeki, popular atau tidak, kalau Allah nak bagi, Allah akan bagi juga," katanya.


Fadh mengakui, dia menyimpan harapan mahu menang sekiranya ada rezeki. Apatah lagi, ABPBH mampu melonjakkan nama dan kerjaya nyanyiannya.

"Siapa tidak mahu menang? Bohonglah jika saya tiada keinginan nak menang, tetapi jika tidak menang sekalipun, saya masih bersyukur sebab berjaya sampai ke kelompok Top 5. Ia bukan sesuatu yang mudah buat pendatang baharu seperti saya," katanya.


Berkongsi perkembangan kerjaya, Fadh berkata, dia kini semakin aktif melebarkan sayap dalam bidang lakonan.

Kata Fadh, dia berjinak-jinak dalam dunia lakonan ketika tempoh pandemik COVID-19 yang menyekatkan penyanyi untuk memenuhi jemputan nyanyian.


"Selepas selesai dengan program realiti, Big Stage, kerjaya seni saya berkembang agak perlahan kerana patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.


"Namun, Alhamdulillah digantikan dengan tawaran lakonan yang sedikit sebanyak membantu saya menjana pendapatan. Saya tidak memilih bidang, jadi saya buat sahaja apa yang boleh.


"Saya memang menyimpan cita-cita menjadi seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berbakat dalam pelbagai bidang. Jadi, ini adalah langkah permulaan saya ke arah itu," katanya yang membintangi drama Aku Seorang Perempuan.

Terdahulu, Fadh muncul dengan single kedua berjudul Tak Mungkin Mendua ciptaan komposer, Ajai dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya.


Sumber Dari Berita Harian
5 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page