Search

“Saya Mahu Tonjol Jati Diri Melayu” – Muzik Nusantara Jadi Pilihan Fadh Majid

Sumber Dari Boom Malaysia | 13.8.2021



Kejayaan Fadh Majid bergelar finalis Big Stage 2020 ternyata meninggalkan impak besar dalam usahanya membentuk karier nyanyian tersendiri.


Biarpun pada awalnya dilihat selaku peserta bukan pilihan atau underdog, Fadh atau Muhammad Fadhlullah Abdul Majid, 28, bersyukur rezekinya untuk mara ke pentas akhir dimakbulkan.


“Big Stage adalah platform terbesar yang pernah saya sertai dan harus diakui ia sangat membantu memperkenalkan lagi jemana Fadh Majid dalam industri ini.


“Jika nak bandingkan era sebelumnya, tidak ramai yang menyedari kewujudan saya sebagai seorang penyanyi biarpun hakikatnya karier saya dah bermula lebih awal,” beritahunya kepada Boom!.


Baru sahaja melancarkan single keduanya berjudul Tak Mungkin Mendua, Fadh berharap lagu tersebut dapat diterima baik oleh pendengar muzik tempatan.


Mempertaruhkan tona suara maskulin yang menjadi kekuatan vokalnya, anak kelahiran Melaka itu memaklumkan bahawa karya berkenaan adalah hasil sentuhan emas komposer terkenal, Ajai manakala liriknya ditulis oleh Ahmad Fedtri Yahya.


“Saya mengharapkan sambutan yang lebih daripada rakyat Malaysia terhadap lagu ini sebab ia sesuai untuk didengar sebelum tidur dek melodinya yang menenangkan, sekali gus mampu membuai perasaan,” katanya meletak harapan.


Di samping itu, mengimbas semula persembahan minggu keempat ketika Big Stage 2020 tatkala mendendangkan lagu Mentera Semerah Padi, ia secara tidak langsung membuka mata pemerhati seni muzik terhadap bakatnya.


“Jujurnya, irama nusantara adalah sesuatu yang saya dambakan untuk memberi kelainan kepada pendengar.


“Lagu-lagu berentak sedemikian mampu menyerlahkan aura atau jati diri seorang lelaki Melayu sejati.


“Cuma setakat ini, saya dan pihak pengurusan Todak Music belum lagi bertemu dengan komposer sesuai untuk menghasilkan karya berkonsepkan nusantara,” jelas jejaka yang turut mempunyai ketangkasan dalam seni silat itu.


https://youtu.be/klVmAEzW-fA

2 views0 comments