top of page

Impian Shiha

izzlynzrh

Sumber Dari Harian Metro

Lebih sedekad berada dalam industri hiburan tanah air banyak memberi ilmu serta pengalaman buat penyanyi yang juga kini bergelar pelakon,

Memacu kerjaya seni mengikut acuan dan perancangan teliti, Shiha kini mampu tersenyum lebar melihat pencapaian diraih. Lebih membanggakan, tahun ini bakal menyaksikan Shiha bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi lagu AEWO. Berkesempatan menemu bual penyanyi versatil ini baru-baru ini, Shiha berkongsi matlamat dan impiannya dalam meneroka lebih dalam lagi sebagai anak seni. "Tahun ini sudah masuk 12 tahun saya berada dalam industri walaupun masih ada yang menganggap saya baharu. Pertama, nak cuba gapai beberapa percubaan lain antaranya untuk tulis lagu sendiri. "Kedua, umur saya pun sudah 35 tahun. Jadi, saya harap akan temui seorang penyanyi yang ada semangat seperti saya," katanya. Ditanya mengenai impian kedua itu, Shiha berkata, dia inginkan pelapis yang memiliki matlamat serta semangat untuk meneruskan langkah sebagai anak seni.

"Kenapa saya cakap begitu? Kerana kalau seseorang itu berbakat besar sekalipun, tapi tak ada semangat yang kuat, cepat 'down', mungkin dia punya matlamat tak selari dengan apa saya diingini dan perkara itu tidak ke mana.

"Contohnya, masuk dalam industri untuk popular dan kaya raya, itu mungkin sedikit sukar. Tapi, kalau dia benar-benar ada jiwa untuk berada dalam industri seni, orang hina dia, lagu tak dimainkan, tetap tak patah semangat dan berusaha bersungguh-sungguh. Itu memang matlamat saya. Saya harap akan dapat seseorang dengan sikap sebegitu," katanya.

Sebagai artis senior di bawah naungan Todak Music, Shiha juga mengharapkan supaya jalan dan pintu rezeki untuk artis di bawah syarikat sama akan terbuka luas. "Sekarang Kay Khydir di bawah saya. Saya harap rezeki dia lebih bersinar. Saya pun takkan selamanya dalam industri. Dalam sesuatu usia, saya akan tumpukan kepada perkara lain pula. Jadi, saya harap ada mereka yang akan teruskan.

"Selain itu, mungkin saya akan banyak di belakang tabir. Insya-Allah saya nak terbitkan tak kisah drama atau lagu mahupun artis baharu. "Saya juga berharap artis di bawah Todak Music akan turut berjaya antaranya Fadh Majid, Razak A'ai dan Dina Nasz," katanya.

Berkongsi mengenai AJL36, Shiha menganggap pertandingan itu sebagai platform besar untuknya sebagai penyanyi. "Saya sangat bersyukur dan gembira. Ini permulaan baharu untuk saya dan semua yang terbabit dalam penghasilan lagu AEWO.

"Memandangkan pentas AJL ini adalah pentas yang saya idamkan untuk bawa lagu sendiri, tahun ini, Allah beri rezeki. "Di pentas ini bukan sahaja penyanyi, tetapi semua termasuk komposer dan penulis lirik untuk sajikan karya sendiri. Apabila berjaya ke peringkat seterusnya, itu membuatkan rasa terharu," katanya.

Berkongsi mengenai persiapan menjelang AJL36, Shiha bersyukur kerana label muzik yang menaunginya tidak lokek dalam mengeluarkan idea segar. "Saya rasa gembira kerana Todak Music tak lokek dalam mengeluarkan idea menarik untuk saya berikan yang terbaik.

"Sebab itu ketika di peringkat separuh akhir, ada juga yang bertanya kenapa kami berhabisan di sini. Insya-Allah, pada AJL36 nanti pasti akan ada kelainan yang kami tampilkan dari segi persembahan. "Pasukan kami suka untuk lakukan sesuatu di luar kotak fikiran. Jadi, saya sebagai penyanyi akan cuba berikan yang terbaik untuk menghargai kerja keras dan idea mereka," katanya.

Terbaharu, Shiha tampil membuat persembahan pads acara konsert Todak Music and Friends yang berlangsung baru-baru ini. "Ini adalah satu peluang yang dinanti-nantikan memandangkan saya pun sudah lama tak buat persembahan di depan penonton.

"Asalnya Todak Music nak adakan konsert jelajah dari utara ke selatan tanah air. Namun, disebabkan situasi sekarang, mereka ambil keputusan untuk adakan konsert di Kuala Lumpur," katanya. Pada acara konsert itu, Shiha tampil mempersembahkan enam lagu termasuk single terbaharunya berjudul Kalam serta persembahan duet menerusi single terbaharu Kay Khydir berjudul Ulang.

Selain Shiha, pentas konsert Todak Music and Friends turut dihangatkan dengan persembahan oleh artis di bawah naungan Todak Music serta penyanyu lain yang pernah bekerjasama dengan mereka antaranya Bunga, Luqman Podolski dan ramai lagi.


Sumber Dari Harian Metro

Commenti


COPYRIGHT BY TODAK FUSION SDN BHD 2024 ©   ALL RIGHTS RESERVED

bottom of page