Sumber Dari Boom Malaysia
Gemeresik vokal milik pendatang baharu seni suara, Razak A’ai mula mendapat perhatian umum sehingga dia dilabelkan sebagai Cakra Khan Malaysia.
Menerusi perkongsian video nyanyiannya di media sosial, terdapat banyak komen warganet yang membuat perbandingan antara karakter suaranya dengan Cakra.
“Sebagai seorang penyanyi baharu, saya menyantuni setiap kritikan yang diutarakan peminat terhadap keberadaan saya.
“Bahkan kesamaan tersebut saya ambil positif dan anggapnya sebagai satu kelebihan serta bonus untuk mengetengahkan lagi karier nyanyian ini,” akuinya berterus-terang.
Pun begitu, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu meletak harapan agar gaya nyanyiannya tidak dibayangi sesiapa.
Menetapkan pendirian, Razak percaya setiap penyanyi ada kelebihan dan identiti tersendiri yang dipertaruhkan.
Di samping itu, mengulas tentang single baharu ciptaannya sendiri berjudul Aku Setia, ia diinspirasikan daripada pengalaman peribadi.
“Bait-bait lirik lagu ini adalah luahan rasa terhadap ibu saya yang sebelum ini pernah menentang hasrat saya bergelar penyanyi.
“Apatah lagi sewaktu pembabitan awal saya pada usia 18 tahun, langkah seni yang diatur tidak menjadi dan akhirnya terhenti setengah jalan.
“Barulah saya sedar betapa sukarnya cabaran yang perlu diharungi selaku anak seni,” jelasnya membuka cerita.
Selain itu, berkongsi perasaan apabila lagunya dicalonkan di Intercontinental Music Awards 2021 yang berlangsung di Amerika Syarikat baru-baru ini, Razak nyata terkejut mendengar perkhabaran menggembirakan itu.
“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan pada masa sama rasa amat berbangga. Terima kasih kepada syarikat pengurusan Todak Music kerana mempercayai bakat saya seadanya,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Commentaires